Jumaat, 15 November 2013

TENTANG DIRIKU..

                                 
Teks: angiefarhana

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bismillahirahmanirahim.

Nama asal Angieline Samudin, Nurfarhana Abdullah (cahaya kegembiraan kami)  maksud  nama islamku yang diberi oleh abang kandungku yang sememangnya telah pun awal memeluk islam.  Memeluk islam di Negeri Selangor pada tahun 1991. Isteri kepada  seorang hamba Allah  yang bernama Mohd Azrul Mazlan. Nama panggilan banyak. Keluarga Kristian memanggil saya Angie, ada yang memanggil Farha, Farah, farhana, dan kak long. Berumur 40 tahun.

Anak ketiga daripada 10 orang adik-beradik. Ayah seorang petani manakala ibu hanya suri rumah sambil membantu ayah di sawah. Inilah faktor utama saya hanya belajar setakat tingkatan satu sahaja dan berkerja untuk membantu keluarga. Tapi kerana keinginan untuk belajar masih ada saya mengikuti kelas malam untuk mengambil SRP. Setelah mendapat keputusan SRP tidak berapa memuaskan, saya mengambil keputusan untuk ke Semenanjung untuk berkerja sambil belajar.

Bukanlah mudah bagi saya merantau di rantau orang pada usia 16 tahun. Macam-macam yang hadapi. Hinggalah abang kandung datang menjenguk  di tempat kerja dan mendengar masalah yang saya hadapi. Dia menyarankan agar saya membuat pilihan samada mahu memeluk agama Islam. Jika mahu dia akan tolong daftarkan di PERKIM Kelantan. Tapi dia tak memaksa.

Malam itu saya berdoa dengan cara Kristian. Keesokan hari, bangun sahaja dari tidur saya tak sabar nak memeluk agama Islam. Saya tertanya-tanya dalam hati kenapa Tuhan buka kan hati saya memeluk agama Islam jika Islam itu tidak benar dan kenapa Tuhan buka kan pintu hati saya sedangkan saya sangat membenci agama Islam selama ini. Pernah sekali saya bertekad kalau abang nak jadi Ustaz saya nak jadi Sister. Ketika abang mendapat tahu saya ingin memeluk agama Islam, abang terkejut dan abang kata tak payah. Mungkin sebab takut saya terdesak dan takut selepas memeluk agama Islam pasti akan di buang keluarga. Tapi saya bertekad tetap dengan keputusan, kerana saya yakin Tuhan tidak akan sia-siakan doa hamba-Nya. 

Ketika belajar di PERKIM saya mengambil SPM secara persendirian. Memang betul seseorang yang memeluk agama Islam seperti bayi yang baru lahir. Ini kerana saya mudah memahami dan mempelajari Al-Quran. Hinggalah mendapat Sijil 4 Thanawi.

Ketika mendapat tawaran Diploma pada usia 35 tahun ( masih bujang ) maknanya lambat jumpa jodoh.. Sekali lagi Allah duga. Ketika sesi pendaftaran, pinjaman PTPTN pula tidak diluluskan.  Tetapi alhmdulillah, melalui seorang rakan saya mendapat bantuan Zakat dari Pusat Zakat Selangor malah pinjaman PTPTN pun lulus. Saya mengamalkan Solat Dhuha. Sebelum Kuliah bermula saya akan singgah di Surau. Mengaji, Solat Dhuha kerana amalan ini meyakinkan saya. Sebab itulah saya sering membantu rakan-rakan yang menghadapi kesusahan kerana saya pernah mengalaminya.

Maha suci Allah. Seorang yang hanya setakat Tingkatan Satu..boleh sampai ke peringkat Diploma dengan mendapat Cgpa 3.65. Syukur alhamdulillah inilah takdir yang telah Allah tentukan pada saya.  Mencapainya bukan mudah tapi tiada yang mustahil bagi Allah asalkan niat kita betul, semangat yang tinggi, usaha dan tawakkal. Tapi Cgpa itu bukanlah ukurannya. Kerana itu semua hanya keduniaan. Yang penting kita selaraskan dunia dengan akhirat. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan jika di panjang kan usia ingin lagi menambah ilmu. Setiap masalah dan dugaan selama ini amat berharga bagi saya. Pengalaman membuatkan saya tersenyum bila terkenangkannya.

 Jika saya boleh anda juga boleh. Jika mereka berjaya saya juga ingin berjaya. Saya tetap akan cuba dan mencuba. Kerana saya yakin selagi hidup, setiap manusia tetap akan menghadapi pelbagai dugaan kehidupan. Cuma jalan hidup masing-masing sahaja yang tidak sama.

Saya juga amat yakin anda juga mempunyai cerita hidup yang telah ditentukan oleh Allah. Walaupun cerita kita berbeza, tujuan kita adalah sama. Ingin menjadi hamba yang beriman dan mendapat tempat di sana (syurga ). Mungkin saya tidak layak untuk memberi nasihat, tetapi jika apa yang saya kongsikan dan nyatakan ini dapat menambah keyakinan dan meningkat kan keimanan para pembaca alhamdulillah. Ambil lah dan sebarkan perkara yang baik pada orang lain. Sebagai manusia biasa saya jua tidak dapat lari dari melakukan kesalahan, samada di sedari atau tidak. Namun bila kita sedar moga tak lupa untuk bertaubat kepada Allah dan meminta maaf jika bersalah pada sesama manusia.

Syukur alhamdulillah.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para ustaz dan ustazah di Perkim kerana atas sebab musebab didikan mereka berpandukan Al-Quran dan As-sunnah hingga menjadikan saya seorang yang tabah. Memiliki ilmu walau sedikit tapi insyallah akan mengamalkan dan menyampaikannya. Moga mereka yang masih hidup di berkati Allah dan yang telah pergi di tempatkan dalam golongan orang beriman. Aamiiin. Terima kasih segalanya.

Mungkin saya tidaklah pandai berdebat tentang Iman atau Agama tapi saya yakin pada Allah dan moga hati dan iman yang sedikit ini Allah sentiasa pelihara dan menjadikan saya seorang isteri, anak, kakak, adik dan saudara anda yang solehah. Aamiiin.

Penting.

Jika mereka yang beragama selain Islam membaca Blog ini, saya memohon maaf. Bukan bermaksud menyentuh soal Agama cuma ingin berkongsi. Setiap manusia memiliki keyakinan yang berlainan. Tiada paksaan dalam Agama. Setiap Agama mengajak melakukan kebaikan di Bumi Tuhan. Jadi bagi saya jika kita ada keyakinan pada Agama yang kita anuti jangan tergugat dengan apa sahaja yang bisa menggugat iman kita. Tapi percayalah pada diri sendiri dan buatlah pilihan supaya apa sahaja pilihan yang kita lakukan tidak tergugat dengan persekitaran. Dunia pun hanya persinggahan sementara banyak lagi persinggahan selepas ini. Apalah salahnya kita berbuat kebaikan. Kita pasti tak mahu  rugi di dunia apa lagi rugi di akhirat. Nau'zubillah.


Berbalik pada tajuk Laman saya.

Saya tidak menyedari masa bila saya minat Menjahit. Tapi ketika saya berkerja di sebuah Taska, saya mengisi masa hujung minggu mengikuti Kelas Asas Menjahit di sebuah kedai. Memang mahal jugalah tapi takpe yang penting dapat ilmu untuk sendiri dan keluarga. Tak adalah buang duit upah orang. Dapat jahit baju kurung sendiri pun jadilah. Pernah juga mengikuti Kelas Menjahit di sebuah tempat, tapi hanya mendapat satu ilmu sahaja dalam tempoh dua bulan, kerana banyak masa bersembang daripada belajar malah yang paling tidak menyelesakan saya kelas ini bercampur dengan lelaki dewasa yang sama-sama belajar menjahit. 

Maknanya saya  bukanlah pakar dalam jahitan tetapi kalau sekadar asas Insyaalhah saya akan kongsikan pada anda yang berminat. Saya seorang yang suka menambah Ilmu. Tak kiralah memasak atau menjahit. Jadi jika anda ingin belajar saya wajibkan anda supaya ikhlas kan hati. Moga apa pun yang kita perolehi mendapat keberkatan dan dapat membantu mereka yang memerlukan terutama keluarga dan mereka yang seagama dengan kita. Bagi saya berkongsi ilmu walaupun sedikit tapi mungkin dapat meringankan beban hidup orang lain sangat menyeronokkan.

BEST SANGAT-SANGAT JIKA DAPAT BANTU ORANG



ANTARA KOLEKSI JAHITANKU




    Langsir dan sarung kusyen coklat adalah hasil jahitanku



    Masa hari raya


            Inilah mesin jahit kesayanganku


        Pengikat Langsir


  Kelip langsir


Jubah


          Seluar pinggang bergetah



Blouse

                           
   Tudung dua layer


                                                                       Beg serbaguna







 



 Beg serbaguna





     Baju kurung asli


               Telekung dua lapis Tudung sekolah


Sarung bantal


 Sarung bantal







Sarung bantal siap



tudung berlapik dagu





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...