Isnin, 20 April 2015

Jangan Zalimi Diri Kita

Assalamualaikum dan salam satu malaysia.

Alhamdulillah, sedikit mood untuk berkongsi ilmu hari ini. Lama menyepi kerana kurang sihat. Apa pun moga anda semua sihat waalafiat.

Pagi ini ketika berehat setelah mengemas barang untuk balik kampung esok, saya membaca sebuah majalah Solusi untuk mengisi minda. Tergerak hati untuk kongsikan pada anda, mengenai tajuk ini. Ketika membaca isi kandungan tajuk ini begitu tersentuhnya hati saya. Saya juga tertanya-tanya sama ada saya tergolong dalam golongan yang mana. Moga sahaja tergolong dalam golongan yang beriman. Aamiin.


* Tidak Zalim ketika " serba ada atau seadaanya".*

" Kuasa, harta dan nasab keturunan tanpa dukungan kekuatan iman akan menyebabkan berlaku penzaliman. Iblis menjadi sombong kerana merasakan dirinya lebih mulia, kerana diciptakan daripada api. Zionis laknatullah menjadi zalim kerana merasakan mereka umat pilihan Tuhan. Firaun menjadi zalim kerana mempunyai kuasa yang tidak terbatas. Qarun bertukar menjadi zalim kerana limpahan harta yang banyak.

Kezaliman berlaku apabila hati menjadi goyah dengan ujian nikmat kesenangan, kuasa dan kemasyuran. Ketika berada di puncak, kompas hati mudah hilang arah dan diri kehilangan petunjuk. Ketika itu kuasa, harta dan nama tidak lagi di gunakan untuk memberi perlindungan, keadilan dan bantuan kepada manusia lain, sebaliknya hanya digunakan untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni.

Allah berikan kekayaan, bukan bererti Allah memuliakan. Allah berikan kemiskinan bukan pula untuk di hina. Kaya atau miskin, lawa atau hodoh hakikatnya adalah sama ( Kata-kata yang saya tambah). Kerana semuanya merupakan ujian dari Allah. Hanya mampukah manusia mengekalkan sifat kehambaan ketika diuji dengan kesenangan atau kesusahan.

Nabi Sulaiman a.s diuji dengan harta. Beginda taat dan hatinya sentiasa ingat kepada Allah. Nabi Daud a.s diberi kuasa , namun beliau tetap taat dan memberi keadilan kepada rakyat. Begitu juga dengan Nabi Ayub a.s tetap menjadi hamba yang taat, walau diuji dengan kesakitan dan kesepian apabila ditinggalkan oleh ahli keluarganya. Malah banyak lagi contoh kisah ketaatan para Nabi untuk di taladani.

Ujian kesenangan lebih sukar dihadapi berbanding dengan ujian kesukaran. Kerana dalam kesenangan, kemahsyuran dan kekuasan manuasia mudah menjadi alfa. Kerana semua yang di miliki itu memikul tanggungjawab untuk di hisab nanti.

Hanya dengan Iman yang kukuh, si kaya tidak akan menzalimi si miskin kerana merasakan segala-galanya milik Allah. Si miskin pula tidak akan menzalimi dirinya dengan sifat hasad dan dengki kepada si kaya kerana merasa bersyukur dan merasa cukup dengan kekayaan hati. "

Moga apa yang baik itu dapat di manafaatkan bersama.

Wallahua'lam.


Rabu, 8 April 2015

Seronok Dapat Rm0.20

Assalamuallaikum.

Salam buat semua.

Hari ini hari Rabu..esok Khamis tup-tup dah seminggu. Terasa cepatnya masa berlalu. Kini bila terasa badan lenguh sana sini, barulah sedar diri tidak lagi semuda dahulu. Umur sudah menjangkau setengah abad. Terfikir masa dahulu..ketika masih di usia kanak-kanak. Ada kalanya bercerita dengan sang suami yang menjadi pendengar setia malah termimpi-mimpi suasana dahulu. Sememangnya Allah memahami kerinduan kita dan temukan kita dengan insan yang kita sayangi














Gambar di atas ( suasana kebun terkini )


Dulu...Mak ayah kerja sawah dan mengerjakan kebun buah-buahan menjadi tempat menuai hasil untuk dijual bagi mendapat wang membeli keperluan asas di rumah. Ketika masih sekolah rendah, nak ke sekolah jika ada duit siling rm0.20 sen pun dah rasa seronok sangat. itu pun selalunya singgah dulu di pangkin rumah pondok nenek. Mengharap nenek akan beri duit Rm0.20 sen. Bila nenek lihat sahaja muka saya duduk di situ dia dah faham sangat apa yang saya harapkan. Selalunya nenek akan buka ikatan tali pinggang yang di ikat di pinggangnya. Tali pinggang kain yang di jahit lalu di masukan duit dalam plastik supaya duit tidak mudah hilang mahupun basah terkena air. Begitu unik dan kriatifnya mereka. Nenek akan keluarkan jika ada duit siling. Bila dah terima, senyum saya meleret-leret seronok ke sekolah walaupun berjalan kaki lebih kurang 5 kilo meter. Apa taknya..dahulu kuih pun besar rm0.10 sen. Mee goreng pun rm0.20 besar, kenyang hingga ke tengahari. Apa lagi jika balik rumah berjalan jauh memang penat, sambil balik dari sekolah singgah mandi sungai dan mencari buah belanda yang masak untuk di makan bersama rakan. Kadangkala bila lewat balik rumah, selalunya mak yang bising dan kami sering di rotan. Ayah pula jarang sekali marah dan seingat saya tidak pernah merotan. Itulah kelebihan mereka berdua.







Gambar di atas:   Beginilah gambaran tali pinggang nenek masa dahulu, cuma apa yang membezakan ialah sekarang saya jahitkan zip supaya senang untuk keluarkan isi di dalamnya. Sekarang setiap kali balik kampung kakak mesti minta saya jahitkan.

Setiap kali ke sekolah berjalan kaki, jika tak kehujanan kepanasan. Bila musim hujan sahaja selalunya mak suruh kami masukkan buku dalam plastik supaya buku tidak basah dengan hujan.
Itu pun jika keluarga tinggal di rumah sawah dekatlah sedikit bila pergi dan balik dari sekolah. Tapi jika keluarga tinggal di kebun buah-buahan lain pula ceritanya. Mesti ada yang tertanya kenapa ada dua rumah. Rumah di Tanah sawah adalah rumah sepenuh masa kami. Rumah di kebun pula jika mak dan ayah menanam padi bukit terpaksalah kami sekeluarga menginap di tanah bukit ( kebun ). Jadi kenalah bangun bersiap ke sekolah seawal jam 6 am. Selalunya ayah akan hantar hingga ke jalan besar, dan bila balik sekolah kami akan balik sendiri melalui hutan ke kebun. Masa tu memang meletihkan, tetapi sekarang apa yang amat saya rindui ialah bila ayah hantar ke jalan besar dalam keadaan gelap lagi, bunyi cengkerek dan unggas memang menyeronokkan. Tinggal di kebun sangat berlainan suasana. Bukan sahaja air minum dan mandi dari bukit, lampu juga dari minyak tanah. Racun nyamuk juga belum ada, hanya unggun api diguna untuk mewangikan pondok malah kulit kelapa kering dibakar untuk menghalau nyamuk.

Ubi kayu di rebus di cicah dengan gula, kadangkala ubi kayu dan ubi manis di bakar. Memang terliur mengingatinya, malah hingga sekarang masih lagi menu tersebut di kekalkan. Sayur manis, pucuk ubi, rebung, cendawan, jantung pisang, macam-macam ada. Hanya petik dan terus masak. Buah-buahan juga jika ada yang masak terus sahaja di kongsi bersama. Lauk pula?...jika ada sardin masa itu memang  sedaplah makan. Adakalanya ayah memasang bubu di sungai kecil berdekatan dengan pondok, malah memasang perangkap untuk binatang seperti pelanduk. Jika ada rezeki dapatlah makan besar. 

Tv?...Masa tu tidak banyak rumah yang memiliki Tv. Begitu juga dengan kereta. Jika ada yamg mempunyai kereta itu sudah dikira berada. Hatta jika ada basikal kehidupan orang tersebut sudah dikira senang. Ketika itu jika hendak melihat Tv, berpakat ramai-ramai pergi kerumah orang tersebut untuk menonton. Memang seronok. Pemilik rumah tersebut juga seorang yang baik budinya.

Kini..semuanya menjadi kenangan yang indah. Sememangnya ayah, mak, nenek, datuk kalian adalah yang teristemewa bagi saya. Moga Allah beri yang terbaik buat kalian di sana.

Dan banyak lagi kenangan yang ingin di kongsi bersama sebagai penghibur hati yang rindu ini. Apapun terima kasih kerana sudi membaca. 

Jumpa lagi....

Wallahua'lam.


Ahad, 5 April 2015

Mencari Redha Suami

Assalamualaikum.

Salam untuk semua. Semoga anda semuanya dalam keadaan yang terbaik dari semalam.

Lama menyepi kan diri disebabkan line Maxis saya tak berapa sihat. Menunggu line ok membuatkan saya rasa membuang masa kerana banyak lagi kerja yang hendak di lakukan selain dari menunggu line Maxis lancar.

Sebagai suri rumah banyak yang kita terlepas pandang. Adakalanya kita sedar namun kita buat endah tak endah dengan kesilapan yang kita lakukan. Selama saya menjalankan kelas Qiraati di rumah, saya tidak pernah peduli tentang perasaan suami jika mengadakan kelas di rumah. Pada mulanya saya meminta izin dengannya dan dia izinkan. Bila ramai yang telah boleh membaca Al-Quran, saya mula tamak, seronok jika ramai yang pandai membaca Al-Quran. Walaupun tidak berkira tentang yuran kerana niat untuk menyebarkan Kalamullah. Mungkin kerana telah bertahun saya mengajar Qiraati dan Al-Quran. Perasaan tamak ini telah membuta kan mata hati saya tanpa mengetahui perasaan  suami. 

Sering kali suami mengeluh dan bermasam muka kerana pelajar sering lewat balik. Jika kelas tamat 10.00 malam, ibubapa akan ambil 10.30 malam. Dan suami hanya ada masa untuk bersantai di ruang tamu dalam 15 minit sebelum berkerja syif 11.00 pm. Malah hanya hujung minggu sahaja dapat menonton siaran berita jam8.00 malam. Bukan itu sahaja, suami juga sering makan dalam bilik. 

Hingga satu saat saya seperti mendapat satu tamparan yang sangat kuat hingga tersedar akan kesilapan diri. Selama ini saya hanya mengutamakan orang lain hingga mengabaikan keperluan dan perasaan suami. Betapa selama ini saya mencari pahala untuk menyebarkan ilmu Allah. Namun saya terlupa bahawa kewajipan utama sebagai seorang isteri ialah mengutamakan keperluan suami termasuklah menjaga perasaan. 

Hingga sekarang saya masih tertanya-tanya adakah selama ini saya mengajar Al-Quran mendapat pahala sedangkan telah mengabaikan suami. Masyaallah...Alhamdulillah setelah sedar dari kesilapan diri, saya terpaksa menebalkan muka untuk memberitahu semua ibubapa yang terlibat kelas malam.

Apa pun..syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana masih memanjang kan usia saya dan menyedarkan saya akan kesilapan diri. Siapalah kita sebagai seorang isteri jika tidak mendapat keredhaan dari suami.

WALLAUA'LAM.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...