Salam buat semua.
Hari ini hari Rabu..esok Khamis tup-tup dah seminggu. Terasa cepatnya masa berlalu. Kini bila terasa badan lenguh sana sini, barulah sedar diri tidak lagi semuda dahulu. Umur sudah menjangkau setengah abad. Terfikir masa dahulu..ketika masih di usia kanak-kanak. Ada kalanya bercerita dengan sang suami yang menjadi pendengar setia malah termimpi-mimpi suasana dahulu. Sememangnya Allah memahami kerinduan kita dan temukan kita dengan insan yang kita sayangi
Gambar di atas ( suasana kebun terkini )
Dulu...Mak ayah kerja sawah dan mengerjakan kebun buah-buahan menjadi tempat menuai hasil untuk dijual bagi mendapat wang membeli keperluan asas di rumah. Ketika masih sekolah rendah, nak ke sekolah jika ada duit siling rm0.20 sen pun dah rasa seronok sangat. itu pun selalunya singgah dulu di pangkin rumah pondok nenek. Mengharap nenek akan beri duit Rm0.20 sen. Bila nenek lihat sahaja muka saya duduk di situ dia dah faham sangat apa yang saya harapkan. Selalunya nenek akan buka ikatan tali pinggang yang di ikat di pinggangnya. Tali pinggang kain yang di jahit lalu di masukan duit dalam plastik supaya duit tidak mudah hilang mahupun basah terkena air. Begitu unik dan kriatifnya mereka. Nenek akan keluarkan jika ada duit siling. Bila dah terima, senyum saya meleret-leret seronok ke sekolah walaupun berjalan kaki lebih kurang 5 kilo meter. Apa taknya..dahulu kuih pun besar rm0.10 sen. Mee goreng pun rm0.20 besar, kenyang hingga ke tengahari. Apa lagi jika balik rumah berjalan jauh memang penat, sambil balik dari sekolah singgah mandi sungai dan mencari buah belanda yang masak untuk di makan bersama rakan. Kadangkala bila lewat balik rumah, selalunya mak yang bising dan kami sering di rotan. Ayah pula jarang sekali marah dan seingat saya tidak pernah merotan. Itulah kelebihan mereka berdua.
Gambar di atas: Beginilah gambaran tali pinggang nenek masa dahulu, cuma apa yang membezakan ialah sekarang saya jahitkan zip supaya senang untuk keluarkan isi di dalamnya. Sekarang setiap kali balik kampung kakak mesti minta saya jahitkan.
Gambar di atas: Beginilah gambaran tali pinggang nenek masa dahulu, cuma apa yang membezakan ialah sekarang saya jahitkan zip supaya senang untuk keluarkan isi di dalamnya. Sekarang setiap kali balik kampung kakak mesti minta saya jahitkan.
Setiap kali ke sekolah berjalan kaki, jika tak kehujanan kepanasan. Bila musim hujan sahaja selalunya mak suruh kami masukkan buku dalam plastik supaya buku tidak basah dengan hujan.
Itu pun jika keluarga tinggal di rumah sawah dekatlah sedikit bila pergi dan balik dari sekolah. Tapi jika keluarga tinggal di kebun buah-buahan lain pula ceritanya. Mesti ada yang tertanya kenapa ada dua rumah. Rumah di Tanah sawah adalah rumah sepenuh masa kami. Rumah di kebun pula jika mak dan ayah menanam padi bukit terpaksalah kami sekeluarga menginap di tanah bukit ( kebun ). Jadi kenalah bangun bersiap ke sekolah seawal jam 6 am. Selalunya ayah akan hantar hingga ke jalan besar, dan bila balik sekolah kami akan balik sendiri melalui hutan ke kebun. Masa tu memang meletihkan, tetapi sekarang apa yang amat saya rindui ialah bila ayah hantar ke jalan besar dalam keadaan gelap lagi, bunyi cengkerek dan unggas memang menyeronokkan. Tinggal di kebun sangat berlainan suasana. Bukan sahaja air minum dan mandi dari bukit, lampu juga dari minyak tanah. Racun nyamuk juga belum ada, hanya unggun api diguna untuk mewangikan pondok malah kulit kelapa kering dibakar untuk menghalau nyamuk.
Ubi kayu di rebus di cicah dengan gula, kadangkala ubi kayu dan ubi manis di bakar. Memang terliur mengingatinya, malah hingga sekarang masih lagi menu tersebut di kekalkan. Sayur manis, pucuk ubi, rebung, cendawan, jantung pisang, macam-macam ada. Hanya petik dan terus masak. Buah-buahan juga jika ada yang masak terus sahaja di kongsi bersama. Lauk pula?...jika ada sardin masa itu memang sedaplah makan. Adakalanya ayah memasang bubu di sungai kecil berdekatan dengan pondok, malah memasang perangkap untuk binatang seperti pelanduk. Jika ada rezeki dapatlah makan besar.
Tv?...Masa tu tidak banyak rumah yang memiliki Tv. Begitu juga dengan kereta. Jika ada yamg mempunyai kereta itu sudah dikira berada. Hatta jika ada basikal kehidupan orang tersebut sudah dikira senang. Ketika itu jika hendak melihat Tv, berpakat ramai-ramai pergi kerumah orang tersebut untuk menonton. Memang seronok. Pemilik rumah tersebut juga seorang yang baik budinya.
Kini..semuanya menjadi kenangan yang indah. Sememangnya ayah, mak, nenek, datuk kalian adalah yang teristemewa bagi saya. Moga Allah beri yang terbaik buat kalian di sana.
Dan banyak lagi kenangan yang ingin di kongsi bersama sebagai penghibur hati yang rindu ini. Apapun terima kasih kerana sudi membaca.
Jumpa lagi....
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan